Friday, 15 March 2013

Ya Allah, kuatkan hatinya!

Assalamualaikum.

Masih tidak terlambat lagi untuk aku ucapkan Sobakhal khair (selamat pagi) kepada kalian walaupun jam tangan berjenama pasar malam aku telah menunjukkan pukul 11.59 pagi. Sekarang, aku sudah mula berjinak-jinak dengan aktiviti berjogging di pagi hari malah aku mampu meneutralkan suatu racun berbisa dikenali sebagai Malas atau nama saintifiknya 'Lazy' yang sekian lama bertapak di setiap pembuluh darah dalam tubuh sasa aku. Rasa segar, nyaman dan kadang-kadang aku rasakan aku seperti model iklan Revive yang kena gam dengan TV3. Hahaha ^^


Akak-akak kesayangan aku. Bawah dari kiri : Kak Fathiah, Kak Huda, Kak Ina, Kak Zakiah
Atas dari kiri : Aku gila, Kak Asiyah, Kak Seha. Kak Zu, Kak Ziqa dan Kak Ira tiada dalam gambar kerana melepaskan hajat mereka yang tidak berkesampaian. Haha ^^


Nasi Kerabu Ayam yang menjadi mangsa nafsu manusia rakus


Terhangit di pasaran!

Alamak, dah tersasul banyak ni. Okay, kembali serius! Seperti yang pernah aku bebelkan bagai nak rak sehingga tersembur saliva sebelum ini, minat aku terhadap Sejarah Islam masih tidak dapat disangkal lagi. Walaupun pelbagai usaha untuk menyangkal kebenaran tersebut telah dilakukan secara berkala, namun ianya masih tidak berkesudahan rentetan daripada sikap aku yang tertarik terhadap gaya penulisan Abdul Latip Talib yang versatil seolah-olah sudah menjadi satu ketagihan berat kepada aku.

Kelmarin, timbulnya satu isu kritikan daripada Ustaz Hasrizal terhadap karya penulisan novel Sejarah Islam, Abdul Latip Talib. Dikatakan Ustaz Hasrizal telah menegur metod penulisan dan modul rujukan Abdul Latip di blog rasmi serta laman Facebook beliau. Beliau menyatakan ketidaksetujuan novel fiksyen sejarah itu dimasukkan unsur-unsur yang bukan fiksyen (penceritaan dalam bentuk dialog). Ianya adalah bidaah, yakni sengaja mengada-adakan dialog Rasulullah dan para sahabat baginda. Ada yang menyokong, dan tidak kurang pula yang menentang.


Ustaz Hasrizal Abdul Jamil


Abdul Latip Talib

Sungguh, aku sangat menyanjungi kedua-dua insan yang berbakat dalam bidang penulisan seni kreatif ini.  Bagi aku yang kurang ilmunya ini, adalah lebih afdhal Ustaz Hasrizal mengadakan munaqashah (diskusi) bersama Abdul Latip dan editornya dan bersinergi dengan mereka untuk menghasilkan novel sejarah yang lebih mantap dan hebat. Jika novel Sejarah Islam itu hanya bersalahan dari segi metod dan bukannya fakta, maka ilmunya tetap benar. Kata Saidina Ali RA : “Didiklah anak-anak kamu mengikut zamannya, bukan zaman kamu, kerana mereka akan hidup dizaman meraka yang tidak akan sama dengan zaman kamu”. Maka pada zaman sekarang, kita perlukan kreativiti yang lebih banyak daripada zaman salafus saleh. Remaja kita berhadapan dengan dorongan kearah kejahilan yang amat dahsyat. :(

p/s : Semoga Abdul Latip menerima kritikan ini secara terbuka. Walau pahit untuk ditelan, itu adalah bersifat sementara. Moga usaha Ustaz Hasrizal diberkati. Harapan aku, moga kekhilafan lalu dapat diperbaiki dan membentuk usahasama yang hebat dalam menghasilkan novel sejarah yang terbaik.

Ustazah berceloteh : Firman Allah SWT dalam Surah Al-Furqan ayat ke-73 yang bermaksud “Dan orang-orang yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat Tuhan mereka, mereka tidaklah menghadapinya sebagai orang-orang yang tuli dan buta”. Sekadar renungan : "Sesiapa yang menasihatimu secara sembunyi-sembunyi, maka dia benar-benar menasihatimu. Sesiapa yang menasihatimu di khalayak, dia sebenarnya sedang menghinamu" (Imam As-Syafie)

Sunday, 3 March 2013

Latihan Industri (LI)

Assalamualaikum.

Aman, damai dan permai sungguh hari ni. Sarapan Koko Crunch sorang-sorang di pagi yang berkabus tanpa diganggu oleh 'makhluk perosak' yang berkata "Akma, mintak sikit!" adalah memori terindah buat insan berjiwa lemah lembik seperti aku. Ahh, selesanyaaa!

Well, pada hari yang indah ini aku ingin berjoyah tanpa Bedah di sisi mengenai Latihan Industri (LI) yang terkenal di bibir-bibir mungil mahasiswa sebagai 'praktikal'. Sukacita dimaklumkan bahawa aku telah dilanda masalah rumahtangga bagi memilih tempat praktikal aku sendiri. Sebagai pelajar Ijazah Pengajian Islam Syariah yang berperwatakan alim-alim kucing parsi dan bermentaliti gila-gila, aku rambang mata melihat badan tough six pack tempat praktikal yang dipaparkan dalam portal pelajar UniSZA. Aku dalam dilema pabila perlu memilih yang mana satu idaman kalbu. Terkadang seolah-olah ditelan mati kutu dan di luah mati pucuk. Inilah antara jejaka-jejaka tampan lagi kacak yang telah membuatkan aku sukar untuk memilih (finalist choice aku) :

1. Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATMA)
                                           

Mesti kalian ketawa teresak-esak sehingga tercabut gusi tatkala melihat finalist yang pertama aku ni kan? Tolong jangan ketawa, kalian hanya perlu senyum tak perlu kata apa-apa. Ini sememangnya adalah tempat yang aku idam-idamkan sejak zaman kanak-kanak mumayyiz lagi. Bermula daripada Johan kawad kaki PKBM (Persatuan Kadet Bersatu Malaysia) peringkat sekolah sehinggalah ke peringkat kebangsaan, timbul rasa minat yang tinggi menggunung Ledang terhadap bidang ketenteraan. Walaupun BMI aku tidak cukup (underweight) dan dikategorikan kurus tapi kuat makan, aku tidak pernah berputus asa melawan tohmahan yang berbaur sindiran "Badan kurus macam ni pun nak jadi tentera? Kau mampu ke?". Saat ini, aku merasakan tangan aku terketar-ketar tidak tahan ingin memberi hadiah berupa penampar berperisa strawberi coklat terhadap orang yang memperlekehkan minat aku itu. Em. Yang merunsingkan minda klise dan kolot aku ialah faktor pengangkutan (tak tahu bagaimana nak ke sana) dan jarak yang jauh dari rumah (lebih kurang setengah jam) :(

2. TV al-Hijrah Media Corporation


Aku juga berminat dalam bidang penulisan walaupun tidak berbakat. Tapi aku sengaja memporak-perandakan penulisan blog aku sebagai pengubat rindu dan stress. Hahaha. TV al-Hijrah ini mempunyai banyak jabatan. Antara salah satu yang berkaitan dengan kursus aku ialah Jabatan Penerbitan Islam. Antara faktor lain aku memilih tempat ini ialah faktor jarak yang dekat dari rumah (15 minit sahaja) dan pengangkutan (komuter). Oh, lupa nak beritahu seperkara lagi. TV al-Hijrah juga menyediakan elaun sara hidup sebanyak RM700 sebulan sepanjang praktikal. Berbaloi-baloi kan? ^^

3. Muzium Kesenian Islam


Muzium. Hahaha. Pasti mata kalian layu sekuyu mata ikan puyu pabila mendengar perkataan 'sejarah' dan 'muzium'. Tetapi tidak bagi aku. Pelik bukan? Adakah aku seekor makhluk asing comel dari Planet Pluto yang tersesat di muka bumi? Sungguh, aku meminati sejarah, lebih-lebih lagi Sejarah Islam. Buku terkini yang aku sedang berteleku membacanya adalah bertajuk 'Abu Ayub al-Ansari' oleh buah pemikiran Abdul Latip Talib, penulis novel Sejarah Islam No.1 Malaysia. Menarik pengolahan kisahnya! Membuatkan kita rasa rindu serindu-rindunya terhadap Rasulullah SAW. Untuk pengetahuan kalian, muzium ini berdekatan dengan Tempat TV al-Hijrah Production. Jika aku diberi peluang menjadi sebahagian daripada kakitangan kepalabadan di muzium ini, pasti aku tidak akan sia-siakan peluang terbaik ini, cayo lah cakap den!

p/s : Persoalannya, yang mana satu idaman kalbu? Dahulukan minat atau elaun? Utamakan jarak atau cita-cita? Mohon pendapat kalian. Huaaaa!

Ustazah berceloteh : "Ya Allah, sesungguhnya aku mohon pilihan-Mu dengan ilmu-Mu, dan aku mohon kepastian kepada-Mu dengan kekuasaan-Mu, sesungguhnya Engkau Maha Kuasa, Engakau Maha Tahu dan Maha Mengetahui segala yang gaib. Ya Allah, jika Engkau mengetahui urusan ini baik bagiku, untuk agamaku, untuk penghidupanku dan akhir kesudahannya kelak, maka takdirkanlah dia bagiku dan mudahkanlah dia bagiku, kemudian berilah dia berkah bagiku. Dan apabila Engkau mengetahui pekerjaan itu buruk bagiku, untuk agamaku, untuk penghidupanku dan akhir kesudahannya kelak, maka singkirkanlah dia daripadaku dan hindarkanlah aku daripadanya. Takdirkanlah hal-hal yang baik bagiku dimana kebajikan itu berada, kemudian berilah aku menyenanginya."

Tuesday, 26 February 2013

Malu Tapi Mahu





Assalamualaikum.

Hari ni aku terlewat bangkit dari tidur akibat melengah-lengahkan waktu. Hormon yang mengalir membawa bersama leluhur syaitonnirrajim laknatullah dalam tubuh badan aku dan ia begitu ampuh sekali untuk dinyahsingkir. Aku kelam kabut berlari berkejaran seindah bunga di taman untuk ke kelas Nahu Maqal. Perghh, penat bukan kepalang. Serebrum aku mencungap tidak cukup oksigen. Kardiovaskular naik mengah mengangkut zat tak cukup sifat dalam badan aku ni. Waktu begini, percayalah, tidur adalah nikmat Allah paling indah pernah aku rasakan. Takku sangka takku duga rupanya hari ni lebih teruk daripada semalam. Sadis sungguh!

Ehem ehem. Soalan pertama, adakah tajuk entri berkaitan dengan cerita romantik di atas? Soalan kedua, adakah bulu ketiak hangit kalian geli geleman tatkala membaca tajuk entri ini? Sila jawab soalan berikut di atas kertas kosong yang tidak disediakan. Maaf, entri tidak berilmiah aku ini tidak ada kaitan dengan cinta monyet, beruk mahupun kera. Tetapi, ianya berkisar tentang masalah hal ehwal kewangan aku yang diibaratkan seperti telur dadar dihujung tanduk kerbau.

Memandangkan aku seorang mahasiswi yang mengharapkan wang belas ihsan PTPTN dan elaun Suksis yang masih belum terima lagi semester ini, aku kekeringan. Hidup aku umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Tak perlulah nak kesian, simpati dan empati dengan diri aku. Bukanlah sebab mak ayah aku kejam tak beri duit. Aku yang segan tak bertempat dan berhabitat. Memang dari dulu aku cukup segan nak minta mak ayah aku duit. Kalau mak ayah aku tanya barulah nak buka mulut cakap dah kong. Bertuah mereka dapat anak macam aku kan? Hahaha. Sesiapa yang nak jadikan aku anak, kakak, adik, nenek mahupun bini angkat, sila hadirkan diri anda di lokasi-lokasi uji bakat di melata dunia.

p/s : Aku harap semester ini adalah kali terakhir aku mintak duit mak ayah aku. Biarlah Maggi menjadi peneman setia aku tatkala perut aku berkeroncong kerincing. 'Terima kasih, mak ayah'!

Ustazah berceloteh : “Lihatlah kepada orang yang berada di bawah mu dan jangan melihat orang yang berada di atas mu kerana yang demikian lebih patut supaya kamu tidak meremehkan nikmat Allah yang diberikan kepadamu.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan at-Tirmidzi). Nabi SAW mengajak seluruh umatnya bersyukur atas segala nikmat dimiliki dan tidak melihat kepada golongan yang sudah kaya dan mewah hidupnya sehingga terkocak dalam hati rasa dengki. Baginda juga meminta kita sentiasa bersyukur atas nikmat diberikan Allah dan bersifat qanaah, iaitu berasa cukup kurniaan Allah.